PERAKAUNAN - NOTA PRINSIP PERAKAUNAN DITERIMA UMUM (PPDU)


NOTA PRINSIP PERAKAUNAN DITERIMA UMUM (PPDU)

MAKSUD DAN HURAIAN ANDAIAN PERAKAUNAN

Andaian Perakaunan merujuk kepada asas-asas yang diperlukan untuk proses perakaunan.

(A) Usaha berterusan.

Usaha berterusan akan mengandaikan sesebuah perniagaan akan beroperasi dalam jangka masa yang tidak terbatas.

Kata Kunci:

dibubarkan, perniagaan berterusan.

(B) Tempoh perakaunan.

Tempoh perakaunan bagi tujuan penilaian prestasi laporan kewangan boleh dibahagikan kepada tempoh tertentu dan berkala. Contoh tempoh perakaunan adalah 3 bulan, 6 bulan, atau biasanya 1 tahun.

Kata Kunci:

laporan kewangan, tarikh, tahunan / interim.

(C) Mata wang stabil.

Mata wang stabil diandaikan tidak mengambil kira perubahan nilai sesuatu mata wang, kuasa beli adalah malar.

Kata Kunci:

kuasa beli, nilai Ringgit Malaysia (RM).

MAKSUD DAN HURAIAN PRINSIP AKRUAN 

Prinsip Akruan bermaksud semua belanja yang belum dibayar tetapi telah dilibatkan dalam tempoh perakaunan direkod sebagai liabiliti semasa, manakala hasil yang telah diperoleh dalam tempoh semasa tetapi belum diterima bayaran tunai direkod sebagai aset semasa.

Begitu juga dengan hasil, jika barang telah dijual (bertukar hak milik daripada penjual kepada pembeli), tetapi tunai untuk jualan itu masih belum diterima, hasil itu mesti diiktiraf sebagai hasil yang telah diperoleh dan ini juga digolongkan sebagai akruan (hasil belum diterima).

MAKSUD DAN HURAIAN PRINSIP PERAKAUNAN

Prinsip perakaunan merujuk kepada suatu panduan yang diterima umum yang menetapkan bagaimana sesuatu urusan atau urus niaga ekonomi perlu direkodkan dan dilaporkan.

(a) Prinsip Catatan Bergu.

Setiap urus niaga mesti dicatat di bahagian debit dan kredit dengan jumlah yang sama.

Kata Kunci:

debit / kredit, imbang / sama, akaun XXX dan akaun XXX.

(b) Prinsip kos sejarah.

Semasa merekod perolehan aset atau perkhidmatan, nilai kos semasa perolehan perlu diambil. Kos ini termasuk semua kos yang perlu dilibatkan untuk menyediakan aset itu dalam keadah boleh guna.

Kata Kunci:

aset bukan semasa, (jumlah / nilai asal), (jumlah / nilai belian).

(c) Wang sebagai ukuran.

Semasa membuat rekod perakaunan, hanya urus niaga yang dapat dinilai dengan wang ringgit akan direkod dan wang ringgit sesebuah negara itulah yang akan digunakan sebagai unit ukuran urus niaga.

Kata Kunci:

RM, nilai saksama.

(d) Entiti berasingan.

Urusan perniagaan dan pemilik perniagaan dianggap sebagai dua entiti yang berasingan.

Kata Kunci:

ambilan, modal.

(e) Realisasi atau Pengiktirafan hasil.

Perniagaan hanya akan mengiktiraf hasilnya dalam tempoh hasil diperoleh, bermaksud barang niaga atau perkhidmatan telah diserahkan kepada pelanggan dan obligasi wujud.

(f) Prinsip keobjektifan.

Rekod perakaunan yang dibuat mesti berasaskan bukti dokumen yang sahih.

(g) Prinsip kematerialan.

Sebelum sesuatu urus niaga direkodkan, perlu dilihat kesan kematerialan kepada amaun urus niaga sama ada signifikan ke atas perniagaan, ia menegaskan bahawa amaun aset yang terlalu kecil dan tidak signifikan kepada kedudukan kewangan perlu dianggap sebagai belanja hapus kira.

Sesuatu butiran atau item itu dianggap sebagai material apabila ia boleh mempengaruhi keputusan pihak-pihak seperti pelabur atau si pemiutang. Sebaliknya, jika item itu tidak memberi apa-apa kesan ke atas keputusan yang akan dibuat, maka ia disebut tidak material.

Bagi tujuan mengetahui sama ada material dari segi kewangan, maka akauntan biasanya membandingkan amaun itu dengan jumlah aset, jumlah liabiliti dari pendapatan bersih.

Contoh yang boleh dikemukakan di sini adalah seperti pembelian untuk cerek elektrik dan aset cawan untuk kegunaan bilik kopi di sebuah syarikat perniagaan komputer, katalah RM 180.00. Barang-barang ini dikira sebagai aset dan sepatutnya disusutnilaikan mengikut usia kegunaan ekonominya. Tetapi kerana amaunnya dianggap kecil sahaja bagi sebuah perniagaan komputer (jumlah modalnya, katalah RM 150,000.00), maka RM 180.00 itu terus diiktiraf sebagai belanja semasa dan bukannya aset kerana amaunnya tidak material.

Kata Kunci:

tidak signifikan, belanja hapus kira.

(h) Prinsip ketekalan.

Sesuatu polisi atau kaedah perakaunan yang dipilih perlu digunakan secara tekal dan berterusan.

Kata Kunci:

susut nilai terkumpul.

(i) Prinsip pendedahan penuh.

Memerlukan perniagaan memberi pendedahan penuh dan terperinci tentang semua maklumat yang memberi kesan kepada pengguna penyata kewangan untuk membuat keputusan.

Kata Kunci:

tukar kaedah (dilaporkan atau nota baki).

(j) Prinsip konservatisme.

Prinsip konservatisme bermaksud prinsip berhati-hati di mana semua belanja yang mungkin berlaku perlu diambil kira manakala hasil diiktiraf apabila ianya telah direalis.

Prinsip konservatisme bereti akauntan mestilah memilih nilai yang lebih kecil bagi sesuatu aset itu jika wujud lebih daripada satu alternatif di atas amaun yang perlu diambil kira.

Prinsip konservatisme memberikan panduan kepada akauntan apabila berada dalam situasi yang sukar dalam menentukan nilai sesuatu urus niaga. Panduannya adalah jangan melebih nilai aset dan pendapatan.

Sebagai contoh, apabila menunjukkan nilai akaun belum terima (penghutang) dalam kunci kira-kira (penyata kedudukan kewangan), biasanya nilai belum terima itu ditolakkan peruntukan hutang ragu.

Satu lagi contoh merupakan menggunakan kaedah Terendah-Antara-Kos atau Pasaran (TAKAP) untuk menunjukkan nilai inventori dalam aset di kunci kira-kira.

Berpandukan contoh ini, jika nilai inventori di pasaran adalah rendah dari nilai kos beliannya dahulu, maka nilai pasaran digunakan, tetapi jika nilai pasarannya lebih tinggi, amaun inventori itu ditunjukkan pada nilai kosnya.

Kata Kunci:

prinsip berhati-hati, kaedah Terendah-Antara-Kos atau Pasaran (TAKAP).

(k) Prinsip pemadanan.

Prinsip pemadanan merujuk kepada hasil yang diperolehi dalam sesuatu tempoh akan dipadankan dengan semua belanja yang terlibat untuk mendapatkan hasil dalam tempoh yang sama bagi menentukan untung atau rugi perniagaan.

Setiap hasil yang diiktiraf atau diperoleh itu mesti diikuti oleh belanja yang terlibat untuk mendapatkannya. Sebab itulah pemadanan ini boleh dianggap sebagai pengiktirafan ke atas perbelanjaan. Ia membawa makna bahawa belanja dipadankan dengan hasil.

Belanja tidak diiktiraf apabila tunai dibayar, tetapi diiktiraf apabila perkhidmatan (buruh) atau barangan telah benar-benar memberi sumbangan untuk memperoleh hasil.

Misalnya, apabila barangan dijual secara kredit, bayaran tunai belum diperoleh, tetapi hasil sudah boleh diiktiraf dan belanja ke atas pengeluaran (usaha mendapatkan barangan) boleh juga diiktiraf.

Bukti yang paling jelas adalah belanja upah atau gaji ke atas buruh dan juga perkeranian yang terlibat untuk membuat, mengurus, dan menjual barangan itu mesti diiktiraf.

Jika gaji atau upah mereka ini belum dibayar pada tarikh tutup tempoh perakaunan yang berkaitan, maka ia disebut sebagai upah atau gaji terakru (belum bayar) dan ia mesti diiktiraf sebagai belanja dan dipadankan dengan hasil.

Kata Kunci:

hasil, belanja, untung bersih atau pendapatan bersih.

下载 PDF:

NOTA PERAKAUNAN SEMESTER 1 - Google Drive

好了,今天的blog到这里结束了,蟹蟹大家能够看完!


💕大家有什么问题可以留言告诉我,有时间我会回复的💕

***建议大家订阅我,这样可以第一时间收到通知,大家放心,是免费的!

***建议大家订阅我,这样可以第一时间收到通知,大家放心,是免费的!

***建议大家订阅我,这样可以第一时间收到通知,大家放心,是免费的!

重要的事情说三次!!!  

此博客中的热门博文

PERAKAUNAN SOALAN DAN SKEMA JAWAPAN STPM 2023 SEM 1 / PENGGAL 1

PERAKAUNAN SOALAN DAN SKEMA JAWAPAN STPM 2022 SEM 1 / PENGGAL 1

PERAKAUNAN SOALAN DAN SKEMA JAWAPAN STPM 2021 SEM 1 / PENGGAL 1